Sebelum ini, saya pernah menulis bagaimana untuk menyediakan resume yang mantap dan sentap lalu berjaya memikat bakal majikan untuk dipanggil temuduga. Diharapkan tips yang diberikan dalam post tersebut benar-benar berkesan untuk anda. Kali ini, saya ingin terus memberikan tips paling mudah untuk menghadapi temuduga.
Sebelum bermula, suka saya berkongsi pengalaman setelah ditemuduga sebanyak tiga kali untuk setiap sesi temuduga tersebut, saya diterima untuk bekerja di syarikat bekas majikan dan majikan saya yang terkini. Temuduga yang kali pertama adalah sebagai seorang graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di IPT. Dengan hanya satu sesi dan satu-satunya temuduga yang saya hadapi untuk kerja pertama, saya terus diterima oleh bekas majikan saya itu. Perkara yang sama juga berlaku untuk temuduga dengan majikan kedua dan ketiga saya. Semuanya diterima tanpa pernah ditolak.
Dalam post ini, saya tidak akan menyenaraikan semua jenis persediaan sebelum temuduga kerana semuanya itu boleh didapati dari banyak laman web. Google sahaja, pasti berderet info yang boleh diperolehi.
Kaedah saya adalah lebih santai ataupun dalam bahasa pasarnya 'lebih sempoi' kerana saya ingin menjadikan strategi temuduga ini lebih mudah dan tidak terlalu skema.
Langkah 1: Bersedia untuk ditemuduga
Jika mahu melakukan sesuatu, persediaan adalah paling penting. Persediaan pertama yang wajib dilakukan adalah bersedia untuk temuduga. Jika tidak bersedia, bagaimana untuk maju ke langkah seterusnya? Bersedialah untuk menghadapi sesi temuduga yang akan datang dengan memastikan tarikh, masa dan lokasi temuduga. Jangan sampai tersilap tarikh, masa atau lokasi. Lagi teruk jika tersilap syarikat.
Langkah 2: Buat salinan resume
Setelah berjaya dipanggil temuduga, buat salinan resume anda. Jangan kedekut. Sediakanlah dua atau tiga salinan. Manalah tahu jika diperlukan nanti.
Langkah 3: Sediakan buku sijil dan set salinan sijil
Sediakan sijil-sijil berkaitan untuk temuduga dalam clear book file folder ataupun dalam bahasa mudahnya fail buku dengan plastik lutsinar. Jangan dibiarkan bersepah seperti tidak terurus.
Susun kandungan buku sijil mengikut prioriti kepentingan maklumat sijil kepada jawatan yang dipohon kepada yang kurang penting.
Susun atur sijil-sijil di dalam buku file yang sesuai:
- Salinan Resume
-
- Sijil Pendidikan Tertinggi
- Disusun dari peringkat Universiti ke SPM.
-
-
- Sijil Keahlian Professional
- Contoh: Ahli Board of Engineers Malaysia, dll.
-
-
- Sijil Kemahiran Professional
- Contoh: Sijil kemahiran kimpalan, sijil kemahiran mengendalikan AutoCAD, dll.
-
-
- Sijil Pengiktirafan Majikan Terdahulu
- Contoh: Pekerja Cemerlang Tahunan, dll.
-
-
- Sijil Jawatan Berpesatuan Tertinggi
- Contoh: Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, dll. dari tahun terkini ke tahun terdahulu.
-
-
- Sijil Penyertaan Aktiviti Ko-kurikulum Tertinggi
- Contoh: Johan ROBOCON 2014, dll. dari tahun terkini ke tahun terdahulu.
-
-
- Sijil-sijil lain
- Sijil-sijil lain yang dirasakan perlu dan sesuai.
-
- Sijil Kemahiran Professional
- Kepentingan/Pengaruh kemahiran dengan jawatan yang dipohon
- Tahun sijil dikeluarkan
- Pengiktirafan Majikan Terdahulu
- Kepentingan/Pengaruh pengiktirafan dengan jawatan yang dipohon
- Tahun sijil dikeluarkan
- Sijil Jawatan Berpesatuan
- Tahap kedudukan jawatan (presiden/pengerusi - ahli)
- Tahun jawatan diduduki
- Sijil Penyertaan Aktiviti Ko-kurikulum Tertinggi
- Tahap kejayaan penyertaan (johan - penyertaan)
- Tahun jawatan diduduki
Langkah 4: Kenali syarikat bakal majikan
Langkah ini penting untuk sesi temuduga nanti. Kebiasaannya, penemuduga yang akan menerangkan apakah core business syarikat mereka. Ada kalanya, mereka sengaja menguji anda dengan soalan begini. Apa pun, mengenali syarikat ini adalah langkah yang lebih penting untuk langkah seterusnya.
Selain itu, kenal pasti lokasi sesi temuduga yang bakal dijalankan. Ada sesetengah syarikat mempunyai beberapa cawangan/pejabat operasi dan kepastian lokasi ini juga penting agar tidak terbuang masa pergi ke tempat yang salah. Kadang kala, lokasi di dalam Google Maps juga boleh silap. Double confirm dengan aplikasi peta yang lain seperti Waze, Here Maps dan lain-lain.
Langkah 5: Kenali jawatan yang dipohon
Perkara yang wajib untuk diambil tahu dalam mengetahui apa jawatan yang dipohon/ditawarkan. Dengan mengetahui tugas-tugas utama jawatan tersebut, bolehlah merangka strategi ayat-ayat yang bakal disusun dalam temuduga. Apabila anda mengenali jawatan yang ditawarkan, anda boleh merangka important points yang sesuai untuk diketengahkan semasa sesi temuduga. Antaranya ialah kemahiran yang berkaitan, pengalaman yang berkait rapat dengan jawatan yang ditawarkan dan lain-lain. Sekiranya anda berjaya menyusun perkataan dengan important points yang berkaitan dengan baik, ini akan lebih meyakinkan bakal majikan untuk memilih anda.
Langkah 6: Pakaian yang sesuai
Pakaian yang sesuai adalah penting untuk ke sesi temuduga. Pakaian formal adalah sesuai untuk mana-mana sesi temuduga dan elakkan berpakaian seperti hipster kononnya untuk nampak kelainan. Lainlah jika ke temuduga sebagai model fesyen atau pereka fesyen. Selain berpakaian kemas, elakkan berpakaian yang mencolok mata (terlalu seksi) kerana boleh mengganggu sensitiviti penemu duga. Jika mahu bekerja sebagai professional, tunjukkan tahap keprofessionalan anda. Anda bukannya mahu memohon jawatan pelakon porno untuk berpakaian seksi.
Langkah 7: Kenderaan ke lokasi temuduga dan rancangan perjalanan
Pastikan bagaimana untuk anda ke lokasi temuduga sudah ditetapkan. Apa kenderaannya, terpulanglah samada mahu memandu sendiri ataupun menaiki kenderaan awam. Apa yang lebih penting adalah perancangan perjalanan ke lokasi temuduga. Buatlah kajian pada jam berapa jalan kebiasaannya mula sesak, bila masanya jalan menjadi lancar. Ini penting supaya anda tidak terlewat ke lokasi temuduga dan pada masa yang sama dapat menjaga first impression anda kepada bakal majikan.
Langkah 8: Tidur awal
Langkah ini semua orang mesti patuh. Ini adalah untuk memastikan badan anda cergas pada hari temuduga anda. Dengan badan yang cergas, otak juga akan menjadi cerdas dan boleh memberi respon yang pantas dan tepat. Pasti bakal majikan anda akan impress dengan anda yang responsif dan peka dengan soalan-soalan yang mereka berikan.
Jadi, cukup rasanya lapan langkah strategi mudah untuk persiapan temuduga. Jika masih belum mencukupi, masih banyak sumber yang boleh didapati dari internet. Apa yang saya kongsikan ini adalah lebih daripada pengalaman saya sendiri. Tak perlu bersusah payah hingga memeningkan kepala. Dengan lapan langkah mudah ini boleh menyediakan diri anda untuk menghadiri temuduga yang dinanti-nantikan.
Semoga berjaya!
0 Ulasan
Sila lontarkan puji-pujian mahupun kritikan terhadap entri ini. Jadi, berapa bintang Cik Nora nak bagi?
Emoji