Persediaan Kerjaya: Sediakan resume yang mantap dan sentap!


Mantap dan sentap! Inilah dua kata yang boleh saya sarankan kepada semua untuk membuat satu-satu resume ataupun curriculum vitae (CV). Dengan resume yang sangat mantap dan sentap, dengan mudah juga akan dapat menarik minat bakal majikan untuk memanggil anda menghadiri temuduga.

Sebelum saya bermula, izinkan saya menceritakan sedikit sejarah saya dalam mula-mula menceburi bidang perkerjaan. Saya bergraduasi pada tahun 2012 dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. CGPA saya tidaklah hebat mana, hanya Second Class Lower dan tidak pernah mendapat Dean List. Pernah gagal satu subjek pada tahun ketiga pengajian saya.

Saya mendapat pekerjaan yang pertama di Johor Bahru tiga bulan sebelum konvokesyen, dengan gaji asas saya melebihi RM2k. Apabila dicampur dengan over time, gaji saya boleh mencapai sehingga RM3000 sebelum ditolak KWSP dan SOCSO.

Saya peroleh pekerjaan pertama saya dengan resume versi pertama saya, dan temuduga saya juga adalah temuduga pertama saya sejak tamat pengajian. Dengan temuduga kerjaya saya yang pertama dalam hidup, saya peroleh pekerjaan tersebut tanpa ada bantuan 'kabel'. Alhamdulillah.

Saya kemudian berpindah dan bekerja di Klang, Selangor. Dengan resume yang telah dikemas kini, saya dipanggil temuduga dan kemudian dilantik ke dalam syarikat. Tempoh saya dipanggil temuduga hingga menerima emel pengesahan lantikan hanyalah dalam selang empat hari.

Kini, saya sudah berada di sebuah syarikat automotif terkemuka dan corak perjalanan saya ke syarikat ini juga hampir sama seperti perjalanan saya ke syarikat-syarikat sebelum ini. Alhamdulillah, apabila mengimbas bali track record saya, tiga pengalaman temuduga pertama dalam hidupan kerjaya, ketiga-tiganya saya berjaya peroleh jawatan dalam syarikat yang saya pohon.

Kini, suka saya berkongsi apa yang saya tahu dan pernah alami dalam memulakan dan mengembangkan kerjaya kepada anda; agar anda juga boleh menggunanya untuk diri anda sendiri. Insya-Allah, dengan perkongsian ini, anda juga akan mudah untuk mendapatkan pekerjaan impian anda.

Sebelum ini, saya pernah mengumumkan satu jawatan kosong di blog peribadi saya, iaitu satu kekosongan di jawatan QC Inspector di syarikat majikan lama yang juga akan menjadi sub-ordinate saya. Dalam tempoh beberapa jam sahaja, banyak resume yang saya terima dari pemohon-pemohon untuk jawatan tersebut.

Walaupun begitu, saya agak sedih kerana terdapat sebilangan besar dari mereka yang tidak menyediakan resume yang mantap dan sentap untuk menarik minat saya membaca penuh resume mereka. Bukan kerana tidak mahu membantu tetapi resume mereka tidak menepati kehendak bakal majikan mereka.

Resume vs CV
Antara sebab yang menyebabkan bakal majikan tidak membaca habis resume mereka adalah sebab mereka menghantar CV, bukannya resume.

Apakah bezanya antara resume dan CV? Pada fungsinya, kedua-duanya lebih kurang sama tetapi dari segi perisian dan perinciannya, resume dan CV adalah saudara yang berbeza. Resume adalah ringkasan pengalaman kerja, kelayakan akademik, skill dan maklumat penting yang ingin disampaikan dalam 2-3 muka surat manakala CV lebih kepada kronologi pengalaman, kemahiran, kelayakan, anugerah, pengiktirafan dan sebagainya yang lebih lengkap.

Bilakah waktunya resume/CV digunakan? Kebiasaannya, resume digunakan pada hampir semua jenis permohonan kerja secara umum manakala CV biasa digunakan dalam permohonan kerja atau jawatan yang lebih bersifat akademik seperti pensyarah, pengkaji selidik, saintis dan sebagainya.

Resume yang berkesan.
Secara ringkasnya, resume yang berkesan adalah resume yang menepati kehendak bakal majikan anda, mengikut jenis jawatan yang anda pohon. Resume yang mantap dan sentap pula resume yang berkesan dan mempunyai nilai-nilai yang lebih tinggi dari resume-resume pesaing mereka; contohnya seperti susun atur template, layout, reka bentuk dan ketepatan kandungan resume.

Untuk menghasilkan resume yang berkesan, beberapa langkah dan perkara harus diambil kira:

1. Cover letter
Ibarat mengurat gadis idaman, cover letter boleh diibaratkan sebagai ayat manis pemula pemohon kepada bakal majikan. Cover letter berfungsi sebagai ayat-ayat pengenalan kita kepada majikan yang mampu menarik minat majikan untuk membaca resume kita. Cover letter juga boleh ditulis pada emel yang juga disertakan dokumen resume dalam lampiran.

Cover letter yang baik adalah cover letter yang ringkas dan padat. Cover letter seharusnya mengandungi:
  1. Tajuk yang tepat.
  2. Pengenalan ringkas diri (nama, kelayakan akademik).
  3. Jenis jawatan yang dipohon.
  4. Pengalaman/skill kerjaya.
  5. Motivasi diri untuk mengisi jawatan.

Berikut adalah contoh cover letter ringkas yang agak menarik perhatian dan berkesan.
Subject/Title: Job application for Design Engineer in AutoDesign Sdn. Bhd.

Dear sir/Dear madam/Dear Mr./Mrs. surname/En./Pn. name,

My name is Mohd Fadzrul Hisyam bin Badarudin (123456-78-9012), a Bachelor Degree graduate in Mechanical Engineering from Universiti Malaysia Pahang. I'm writing to your company after seeing an advertisement for a job as a Design Engineer in Jobstreet.com on 5th January 2014. I am interested on applying the advertised job position.

My previous position was a project engineer in BuildProject Sdn. Bhd and have good skills in engineering designs. Besides, I am a certified with Autodesk AutoCAD 2012 Certified Associate and also highly skilled in using Solidworks, Catia and Algor. One of my portfolio was the design of Petronas Twin Tower ventilation system.

I am a good team player, team leader and very good in generating new design idea. I believe that I can contribute a lot to your company since that AutoDesign Sdn. Bhd. also have a huge reputation in designing automation parts.

I wish that I will meet you personally so that I can discuss a lot more about my qualifications, skills and experiences. If the company requires then I am also willing to relocate for this job. You can contact me trough my e-mail or my personal phone number as stated in the resume attached along with this e-mail.

Thank you for your consideration,

Sincerely,
Mohd Fadzrul Hisyam.

Emel yang tidak disertakan dengan cover letter kebiasaannya akan menyebabkan kebarangkalian besar bakal majikan anda tidak akan langsung membuka resume anda. Walaupun begitu, cover letter yang dikarang mestilah ringkas dan padat. Cover letter yang berjela-jela tanpa arah tuju hanya akan menyebabkan bakal majikan anda malas untuk membacanya.

Tips:
Guna cover letter yang bertema kepada jenis jawatan yang dipohon. Cover letter yang terlalu umum akan menyebabkan bakal majikan anda berfikir bahawa anda ini seorang yang malas dan lepas tangan.

Elakkan typo ataupun kesilapan ejaan. Semak ejaan sebelum menekan butang 'send'. Ingat, fikir dulu sebelum hantar!

Semak tatabahasa (grammar) anda sebelum hantar. Jangan hantar cover letter yang mempunyai tatabahasa yang tunggang langgang. Minta bantuan yang mahir untuk menyemak cover letter anda.

2. Tema resume mengikut jenis jawatan yang dipohon.
Resume yang dihantar mestilah bertemakan mengikut jenis jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, sekiranya jawatan yang dipohon adalah jawatan Jurutera Perisian Komputer, kandungan resume yang dihantar mestilah tertumpu kepada jawatan tersebut. Banyak kes yang berlaku apabila jawatan yang dibuka adalah di bidang kejuruteraan pembuatan, tetapi resume yang dihantar bertemakan kepada kejuruteraan elektronik.

Tema resume yang melencong daripada jenis jawatan yang dibuka kebiasaannya tidak akan dibaca langsung oleh bakal majikan. Sekiranya anda mahu memohon sesuatu jawatan yang tidak ada kaitan dengan kelayakan anda dengan niat 'mencuba nasib', anda boleh merangka satu resume yang bertemakan lebih umum. Namun, dicadangkan juga untuk highlight bahagian-bahagian penting yang benar-benar dirasakan dapat membantu anda mendapatkan pekerjaan tersebut.

3. Template dan layout.
Template dan layout merupakan antara faktor penting dalam merangka resume. Gunakan template yang ringkas dan menarik untuk resume anda. Pastikan juga layout resume anda tersusun dan memudahkan orang lain untuk membaca resume anda.

Ibaratkan resume itu rumah anda, dan anda mahu berasa mudah untuk berjalan masuk dari pintu utama ke dapur rumah. Jika susunan perabot di dalam rumah anda kemas dan rapi, pastinya mudah untuk anda ke dapur. Begitulah juga sebaliknya. Pastikan resume anda kemas dan seronok untuk dibaca.

Template resume yang menarik juga boleh didapati dari internet. Ada juga yang menawarkan pakej template resume terbaik untuk dijual di internet, bersama-sama dengan panduan membuat resume yang menarik.

Tips:
Jika anda mahir dalam menghasilan reka bentuk resume yang menarik, anda boleh menambah reka bentuk grafik di dalam resume anda. Terutamanya kepada graphic designer dan sebagainya. Gunakan grafik yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Anda tak perlukan menunjukkan portfolio reka bentuk resume yang advance untuk memohon jawatan Akauntan.

4. Konsep resume.
Resume mempunyai beberapa konsep iaitu konsep kronologi mengundur (reversed chronology), konsep fungsi ataupun konsep hibrid. Konsep kronologi berundur ini merupakan konsep resume yang biasa digunakan kepada mereka yang tidak ada banyak pengalaman. Kebiasaannya adalah graduan muda, mahupun mereka yang cuma ada pengalaman kerja tidak lebih dari 3 tahun. Resume berkongsep kronologi berundur lebih kepada menyusun pengalaman dalam karier sebelum ini, mengikut tahap pendidikan dan sebagainya. Sebagai contoh, seseorang meletakkan pengalaman kerjanya yang terakhir di paling atas kemudian diikuti oleh pengalaman kerjaya yang sebelumnya di bawah.

Konsep fungsi pula merupakan konsep resume yang menumpu fokus kepada pengalaman dan kemahiran tertentu untuk memohon pekerjaan. Berbeza dengan konsep kronologi mengundur, resume dengan konsep fungsi pula memfokuskan pengalaman dan kemahiran tertentu sahaja; yang berhubung kait dengan jawatan yang dipohon. Contohnya, seseorang itu memohon kerja sebagai Jurutera Proses, mereka menyenaraikan pengalaman kerja dan kemahiran-kemahiran yang benar-benar ada kaitan dengan kerjaya sebagai Jurutera Proses. Pengalaman kerja yang tidak berkaitan seperti pengkeranian, bekerja di restoran makanan segera tidak disenaraikan di dalam resume.

Bagi fresh graduate, kebiasaannya mereka tidak memiliki pengalaman bekerja. Jadi, cara terbaik adalah meletakkan pengalaman semasa di latihan industri sebagai pengalaman bekerja, projek tahun akhir, kemahiran-kemahiran khusus dan senarai aktiviti ko-kurikulum yang disertai.

5. Isi kandungan
Resume yang mempunyai kandungan yang tepat adalah sangat baik untuk dipilih oleh bakal majikan. Walaupun kandungan resume adalah berbeza mengikut keadaan, tetapi secara umumnya senarai di bawah mesti ada di dalam resume.
  1. Tajuk resume
  2. Gambar terkini
  3. Butiran peribadi (nama, no. kad pengenalan, status perkahwinan, alamat, no. telefon, emel, dsb.)
  4. Objektif kerjaya
  5. Latar belakang pendidikan (dari SPM ke atas)
  6. Pengalaman bekerja
  7. Skill dan kemahiran
  8. Lain-lain (kelas lesen memandu, jangkaan gaji, dsb.)
  9. Rujukan bukan ahli keluarga (pensyarah, bekas majikan, dsb.)

Tajuk Resume
Sebilangan orang menyatakan tajuk resume adalah pilihan tetapi bagi saya, tajuk resume adalah sesuatu yang penting. Hal ini kerana, tajuk resume boleh memberikan pandangan sekilas siapa diri anda. Tajuk resume yang baik akan dapat menarik perhatian bakal majikan.

Contoh tajuk resume yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
CIDB Certified Fresh Graduate Civil Engineer
CISCO Certified Software Engineer
5-year-experienced Accountant

Dengan meletakkan tajuk yang menarik dan berkesan, saya dapat jamin yang resume anda pasti akan dibaca oleh bakal majikan anda.

Gambar Terkini
Gambar terkini wajib diletakkan. Ini adalah syarat sah yang saya tetapkan. Hukum tidak meletakkan gambar terkini anda adalah merugikan anda. Hal ini adalah bakal majikan anda semestinya mahu mengenali siapakah orang yang mahu mereka ambil sebagai pekerja; bukannya hantu. Resume tidak bergambar kebiasaannya 98% akan ditolak dan disisihkan secara automatik.

Bagi yang berpurdah, saya mencadangkan untuk juga meletakkan gambar muka yang tidak dilitupi purdah. Bukan mahu menafikan pendirian anda, tetapi ini dapat membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan yang anda pohon.

Jangan risau jika anda tidak merasakan diri anda kacak/cantik kerana bakal majikan kebiasaannya lebih memilih kemahiran dan kemampuan seseorang itu melakukan tugas berbanding kecantikan; melainkan anda memohon kerja sebagai model kecantikan.'

Butiran Peribadi
Untuk memberi pengenalan diri anda kepada bakal majikan, butiran peribadi adalah penting. Berikut adalah butiran peribadi umum dan ringkas yang harus diletakkan di dalam resume:
  1. Nama penuh
  2. Nombor kad pengenalan
  3. Tarikh lahir
  4. Kewarganegaraan
  5. Jantina
  6. Status perkahwinan
  7. Agama
  8. Alamat rumah
  9. Nombor telefon bimbit
  10. Emel

Contoh butiran peribadi.

Tips:
Jika anda memohon jawatan dari luar negara, anda boleh mempraktikkan susunan nama <surname, first name> pada nama anda. Contohnya 'Badarudin, Mohd Fadzrul Hisyam'. Satu lagi cara adalah anda terus membuka ruang First Name dan Surname pada ruangan nama.

Letakkan alamat rumah yang hampir dengan lokaliti tempat kerja anda. Contohnya, anda dari Besut, Terengganu memohon jawatan di Shah Alam, Selangor. 'Pinjam' alamat saudara-mara yang ada berdekatan Shah Alam untuk menambah peluang mendapatkan jawatan tersebut.

Gunakan alamat emel yang lebih professional. Contohnya alamat emel saya ialah fadzrulhisyam@gmail.com nampak lebih professional dan matang berbanding fhisyam_macho89@yahoo.com. Emel yang lebih professional akan membantu anda dengan lebih berkesan.

Objektif Kerjaya
Meletakkan objektif kerjaya boleh membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan anda. Ini dapat memberi tahu bakal majikan anda, apakah objektif kerjaya anda bertepatan dengan core business mereka. Kebiasaannya, seseorang yang diketahui objektif kerjaya mereka lebih diyakini dan dipercayai memandangkan mereka mereka memiliki common sense yang sama dengan bakal majikan anda.

Begitupun, pastikan objektif kerjaya yang anda nyatakan itu berkait rapat dengan jawatan yang anda pohon. Janganlah anda memohon jawatan akauntan, tetapi meletakkan objektif kerjaya anda "mahu menjadikan dunia lebih meriah dengan fesyen terkini".

Objektif kerjaya yang baik adalah objektif kerjaya yang bukan mementingkan diri sendiri. Letaklah objektif kerjaya yang boleh anda sumbangkan kepada diri dan masyarakat secara umum atau khusus.

Contoh objektif kerjaya:
Gaining experience, knowledge and skills in software development and be able to develop great programs that will help human to ease their life.

Tips:
Nyatakan objektif anda yang relevan untuk dicapai. Jangan terlalu bombastik sehinggakan nampak janggal.

Latar Belakang Pendidikan
Salah satu sebab anda dipilih adalah kerana kelayakan pendidikan anda. Kelayakan pendidikan yang lebih berkait dengan jawatan yang dipohon adalah lebih meyakinkan bakal majikan anda. Walaupun begitu, anda juga boleh memilih jawatan yang tidak berkaitan dengan kelayakan pendidikan anda, tetapi masih boleh menjawat jawatan yang dipohon. Saya akan bagi tips bagaimana untuk mendapatkan jawatan yang tidak berkaitan dengan kelayakan pendidikan anda.

Ada sebilangan besar resume yang pernah saya baca, mereka meletakkan sejarah pendidikan sejak UPSR. Jangan letak latar belakang pendidikan bermula dari UPSR! Ini hanya merugikan ruang resume anda! Secara logiknya, apa pekerjaan yang memerlukan keputusan UPSR di resume anda?

Latar belakang pendidikan yang terbaik adalah mengikut jenis kelayakan yang ditawarkan dalam iklan jawatan kosong tersebut. Sebagai contoh, jika jawatan kosong itu dibuka kepada pemegang sijil Diploma, anda boleh menyenaraikan institusi pengajian yang anda peroleh Diploma, senarai institusi latihan sijil kemahiran yang berkaitan dan sekolah yang anda peroleh sijil SPM.

Bagi pemohon jawatan yang memerlukan sijil Ijazah Sarjana Muda, anda boleh menyenaraikan institusi yang anda peroleh sijil Ijazah Sarjana Muda anda, Diploma/STPM/Matrikulasi dan SPM.

Sesetengah pemohon pula memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi dari tawaran yang diiklankan. Contohnya, tawaran dibuka untuk pemegang sijil Diploma dan setaraf, tetapi pemohon adalah pemegang sijil Ijazah Sarjana Muda. Bagi kebanyakan kes, pemohon begini akan ditolak awal kerana tidak menepati keperluan jawatan.

Trivia:
Bagaimana untuk mendapatkan jawatan yang baik dengan jumlah gaji yang tinggi dari yang lain?
- Saya akan berikan tips-tips dalam entri yang akan datang.

Satu lagi perkara penting untuk diletakkan di dalam latar belakang pendidikan adalah keputusan/pointer anda, terutama bagi fresh graduate. Saya mewajibkan semua fresh graduate untuk meletakkan keputusan/pointer anda di dalam resume. Hal ini kerana anda sebagai fresh graduate, anda memohon jawatan tersebut dengan modal kosong! Jangan lompongkan lagi resume anda dengan tidak meletakkan keputusan/pointer anda! Jangan segan meletakkan pointer anda, walaupun anda tidak pernah langsung mendapat Anugerah Dekan (Dean List). Pointer anda akan menjadi modal yang cantik untuk membantu anda.

Sekiranya anda sudah berpengalaman dalam kerjaya lebih dari tiga tahun, anda bolehlah menimbang semula untuk tidak meletakkan lagi keputusan/pointer anda; sekiranya anda yakin bahawa pengalaman dan kemahiran anda lebih berkesan untuk meyakinkan bakal majikan anda.

Tips:
Nyatakan GPA semasa dan CGPA semasa sekiranya anda memohon jawatan sebelum anda tamat pengajian. Apabila anda sudah mempunyai keputusan peperiksaan terakhir anda (dan/atau sudah bergraduasi), kemas kini resume anda dengan maklumat paling terkini. Jangan biarkan resume anda tidak dikemas kini kerana bakal majikan akan membuat homework tentang anda.

Pengalaman Bekerja
Sekiranya anda mempunyai pengalaman dalam bekerja, anda harus menyenaraikan pengalaman anda, dan skop kerja yang anda lakukan dalam pekerjaan tersebut. Pengalaman yang anda ada sangat membantu untuk mendapatkan jawatan yang anda pohon, walaupun anda mempunyai kelayakan akademik yang tidak sama dengan tawaran yang diiklankan!

Andainya anda pernah melakukan 10 jenis pekerjaan, saya galakkan anda untuk menumpukan dan menyenaraikan pekerjaan-pekerjaan yang sehampir perkaitannya dengan jenis jawatan yang dipohon.

Contohnya, anda memohon jawatan sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran (Sales and Marketing Executive), anda boleh menyenaraikan pengalaman sebagai promoter, pelayan restoran, dsb. yang menampakkan anda memiliki pengalaman yang tinggi dalam berurusan dengan prospek pelanggan dan bakal pelanggan.

Bagi fresh graduate, anda boleh meletakkan pengalaman anda semasa di dalam latihan industri sebagai pengalaman bekerja, di samping meletakkan ringkasan Projek Tahun Akhir anda di dalam resume untuk menambah nilai resume anda.

Tips:
Jangan senaraikan 'apa yang anda belajar' semasa di latihan industri, tetapi olah ayat anda menjadikannya lebih menarik dan mantap dengan meletakkan 'apa tugas yang anda telah diamanahkan' semasa di dalam latihan industri.

Contohnya, tukar 'gained experience in designing SMK Jalan Api canteen lot' kepada 'assigned to design new SMK Jalan Api canteen lot'. Anda nilai sendiri, yang manakah lebih anda yakin untuk pilih?

Skill dan Kemahiran
Bagi menambahkan keyakinan bakal majikan anda, skill dan kemahiran wajib diletakkan di dalam resume. Jika tiada kemahiran yang anda senaraikan, anda diibaratkan 'manusia batu yang tidak boleh melakukan apa-apa'. Skill dan kemahiran ini juga boleh menjadi modal besar anda untuk mendapatkan pekerjaan, sekiranya anda memohon jawatan yang agak terpesong dari kelayakan akademik anda atau anda tidak memiliki keputusan/pointer tinggi dalam akademik anda.

Berikut adalah beberapa kemahiran yang boleh anda senaraikan:
  1. Kemahiran bahasa - Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dll.
  2. Kemahiran komputer - Microsoft Office, AutoCAD, MATLAB, Adobe Premier, dsb.
  3. Kemahiran praktikal - Kimpalan, Pertukangan, Kira-kira Statistik (lampirkan sijil kemahiran, jika ada)
  4. Kemahiran professional - AISI, ISO 9001, ISO 14001, dsb.

Tips:
Sekiranya anda mahir dalam bahasa ketiga anda, peluang anda lebih cerah untuk mendapat jawatan tersebut. Bahasa paling hangat (baca: hot) dalam pasaran kerja adalah bahasa Mandarin.

Sertakan nombor sijil kemahiran sekiranya anda menyenaraikan sijil-sijil kemahiran yang anda ada di dalam resume.

Lain-lain
Untuk bahagian ini, anda boleh tambah beberapa info tambahan berkaitan dengan diri anda. Antaranya ialah:
  1. Mempunyai pengangkutan sendiri.
  2. Jenis lesen memandu yang diperoleh.
  3. Tarikh/tempoh paling awal memulakan tugas.
  4. Kesanggupan untuk berpindah/kerja lebih masa/keluar kawasan/dsb.
  5. Jangkaan gaji.

Tips:
Sekiranya anda meletakkan jangkaan gaji, pastikan anda meletakkan jangkaan gaji yang setaraf dengan jenis pekerjaan (biasanya dilihat pada taraf kelayakan pendidikan yang dikehendaki).

Ada kes biasa yang saya terima adalah, jawatan bertaraf bukan eksekutif dengan kelayakan Diploma dan ke bawah yang dipohon, tetapi taraf gaji yang diminta bertaraf eksekutif dengan taraf kelayakan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas. Ada sebahagiannya meminta gaji yang lebih tinggi dari gaji saya sendiri!

Rujukan Bukan Ahli Keluarga
Rujukan adalah penting. Senaraikan sekurang-kurangnya dua orang yang boleh dirujuk berkaitan anda, dan yang paling penting adalah bukan ahli keluarga anda. Individu yang disenaraikan mestilah sama ada pensyarah, bekas majikan, bekas penyelia, dsb. yang pernah menilai anda. Sesetengah bakal majikan memang ambil berat akan bakal pekerjanya dan melakukan kajian terperinci terhadap sejarah mereka.

Senarai individu tersebut mestilah mempunyai maklumat asas berikut:
  1. Nama.
  2. Jawatan.
  3. Nama Syarikat.
  4. Nombor telefon pejabat/telefon bimbit.
  5. Emel.
  6. Hubungan dengan anda.

Tips Tambahan:
Senaraikan keahlian dalam pertubuhan professional yang anda sertai bersama-sama dengan nombor keahlian anda. Contohnya, saya sudah berdaftar dengan Board of Engineers, Malaysia; Institute of Engineers, Malaysia; dan Society of Automotive Engineers International (SAE International).

Senaraikan pencapaian/anugerah yang anda terima. Contohnya anda pernah memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa.

Untuk fresh graduate, anda boleh menyenaraikan aktiviti ko-kurikulum yang anda sertai semasa dalam pengajian. Untuk menjadikannya lebih berkesan, senaraikan aktiviti yang mempunyai nilai tambahan (added value) tertinggi sahaja. Contohnya anda menjadi johan dalam pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa; memegang jawatan utama dalam program-program berimpak tinggi seperti Wacana DiRaja Negeri Pahang, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Istana Negeri Pahang; menjadi Presiden Sektetariat Majlis Mahasiswa Anak Negeri Pahang; dsb. Anda boleh ketepikan aktiviti-aktiviti lain untuk menambah ruang pada resume anda untuk skill dan kemahiran.

6. Resume Mantap dan Sentap
Sengaja saya bagi nama yang agak bombastik. Anda harus tahu, apakah yang dipandang bakal majikan anda apabila menerima permohonan baharu untuk jawatan yang ditawarkan. Dari perspektif dan pengalaman saya, saya senaraikan berdasarkan kronologi di bawah:
  1. Tajuk emel/cover letter.
  2. Alamat emel anda dan nama yang digunakan untuk emel anda.
  3. Kandungan emel/cover letter (termasuk bahasa dan tatabahasa).
  4. Maksimum SATU lampiran dalam emel - iaitu resume anda sahaja.
  5. Tajuk resume.
  6. Nama dan gambar anda dalam resume.
  7. Kelayakan pendidikan tertinggi.
  8. Pengalaman bekerja.
  9. Skill dan Kemahiran.
  10. Jangkaan gaji.
  11. Kekemasan dan nilai tambahan resume.
  12. Maklumat lain dalam resume.
Lain orang lain caranya. Apa pun, first impression anda terhadap bakal majikan anda sangat penting. Jangan guna alasan 'don't judge a book by it's cover' untuk ambil mudah. Realitinya, 'people always judge the cover first, instead of the content of the book'.

Kalau tak, tak adalah iklan McDonald's yang burgernya paling cantik dan segar, tetapi burger yang sebenar hanyalah burger layu dan kusam.

Untuk menambahkan peluang anda untuk dipanggil temuduga, pastikan book cover anda menarik dan memikat dan book content anda seronok dan menepati kehendak pembaca untuk dibaca! Pastinya, anda akan dipilih oleh bakal majikan anda untuk sesi temuduga.

Tips:
Pastikan anda kemas kini resume anda sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, untuk memastikan resume anda sentiasa segar untuk digunakan.

Selain daripada apa yang saya kongsikan ini, suka saya memperkenalkan salah seorang sahabat saya yang juga sangat mahir dalam memberikan panduan membuat resume dengan sangat berkesan dan sempurna. Beliau adalah Khairi Hafizi, sudah membantu banyak graduan muda dan juga pekerja-pekerja dalam menyediakan resume yang sangat berkesan.

Beliau juga menyediakan beberapa template yang sangat menarik dan berkesan untuk menarik minat bakal majikan. Selain itu, beliau juga menyediakan beberapa contoh cover letter lain yang boleh dirujuk untuk persediaan anda. Anda cubalah melawat ke laman sesawangnya di sini. Pasti anda tidak akan menyesal kerana apa yang dia berikan adalah lebih 80% daripada apa yang saya kongsikan di dalam entri ini.

Selesai bahagian resume. Seterusnya, saya bercadang untuk menulis entri bagaimana untuk mendapatkan jawatan dengan gaji yang setaraf dengan taraf pendidikan anda. Bagaimana anda dengan sijil Ijazah Sarjana Muda, boleh memperoleh pekerjaan dengan gaji asas yang setimpal iaitu sekurang-kurangnya RM2k sebulan.

Saya juga bercadang untuk menulis entri berkaitan dengan persediaan temuduga, untuk membantu anda terus 'menang' dalam temuduga pertama anda. Jumpa lagi di bahagian akan datang. Semoga berjaya!

-----

Penafian: Kaedah yang diberi tidak menjamin 100% kejayaan. Apa yang dikongsikan dalam entri ini lebih kepada panduan untuk menambahkan nilai resume agar lebih menarik dan berkesan anda supaya kebarangkalian anda untuk berjaya dipanggil temuduga lebih tinggi. Aspek di luar kawalan juga memain peranan dalam kejayaan/kegagalan resume anda dipilih.

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Teeeeerrrrrrrrbbbbbaaaaaaiiiiiiikkkkkkkkkkkkk BRO !

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, bro! Harap boleh dijadikan panduan yang berkesan.

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Very impress with your explanation. Nak buat rujukan untuk improve resume sedia ada. TQ.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, harap dapat membantu anda menyediakan resume dengan lebih berkesan.

      Padam
  4. banyak membantu saya dalam menulis resume serta cover letter.
    terima kasih Encik Fadzrul Hisyam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama. Harap tips dalam post ni dapat membantu serba sedikit.

      Padam
  5. insyaallah akan cuba..terima kasih😉

    BalasPadam

Sila lontarkan puji-pujian mahupun kritikan terhadap entri ini. Jadi, berapa bintang Cik Nora nak bagi?

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)